Peringatan: Post ini terlampau panjang so pastikan ada cukup masa untuk membacanya :)

Setelah 5 bulan membuat perancangan untuk bercuti ke Langkawi, akhirnya aku tiba juga di bumi Permata Kedah ini. Percutian ni berlangsung selama 3 hari 2 malam dan telah disertai oleh 11 orang (9 dewasa, seorang kanak-kanak dan seorang baby). So apa aktiviti kami di sana? Jom kita lihat.

Hari Pertama

Kami bertolak dari rumah ke Putrajaya Central dalam jam 10pg untuk menaiki KLIA Transit ke Station Salak Tinggi dan dari Station Salak Tinggi kami menaiki bas untuk ke LCCT pula. Kos tiket untuk seorang adalah RM5.50 untuk dewasa dan RM3.00 untuk kanak-kanak so total kos RM52.50. Kami sampai di LCCT dalam jam 12tgh, so lepak kejap sebelum check-in. Flight kami dijangka akan berlepas pada jam 2.05ptg jadi makan tengahari terpaksa ditunda. Tepat jam 2.05ptg kami pun bertolak ke Langkawi. Kos penerbangan aku adalah RM1290 untuk pergi dan balik.

Jam 3ptg kami selamat sampai ke Pulau Langkawi, first time jejakkan kaki kat Pulau Permata Kedah ni, excited jadinya. Handphone aku berbunyi, Abg Miji call cakap van yang kami sewa ada kat depan Balai Polis Airport Langkawi ni, so lepas je amik beg kami terus ke van. Di sini la bermulanya pengembaraan kami di Langkawi. Adik aku akan jadi driver pelancong kali ni dan aku jadi pemandu arah. Kos van adalah RM150 untuk 1 hari, total 2 hari RM300.

Dari Airport kami terus ke Petronas sebab abg van tu cakap minyak ni cukup-cukup je sampai Petronas so dia tunjuk jalan dari Airport. Aku pun ada pembantu yang aku beli sebelum ke langkawi iaitu Peta Langkawi. Tak la jauh mana pun Petronas tu, so aku pam RM50 je kat van tu.

Destinai seterusnya adalah chalet penginapan kami iaitu Cenang Rest House di Pantai Cenang. Berbekalkan peta yang aku ada ni dan signboard yang ada di Langkawi, kami gerak menuju ke Pantai Cenang. Di Pantai Cenang ni memang banyak rumah atau chalet penginapan so kena la slow-slow cari. Tempat yang dicari telah ditemui, kami check-in 4 buah chalet. 3 bilik kipas dan 1 bilik aircond. Kos 1 malam bagi bilik kipas RM50 dan aircond RM70, so total 2 malam RM440. Chalet Cenang Rest House ni berdekatan dengan pantai, nak mandi laut pun tak jauh nak jalan. Sebelah chalet ni pula ada kedai makan Seafood Haji Jelani namanya, nak makan pun mudah.

Cenang Rest House

Lepas letak beg kat bilik, kami terus gerak ke Langkawi Underwater World. Tak jauh dari tempat penginapan kami. Perut tengah lapar tapi kena tahan dulu sebab Underwater World ni tutup jam 6ptg jadi kami decide masuk dulu, keluar kang baru cari tempat makan. Apa yang menariknya Underwater World Langkawi ni adalah Penguin dan Anjing laut jer sebab dua spesis haiwan ni kita tak pernah tengok live. Jika nak dibandingkan dengan Aquaria KLCC memang jauh bezanya sebab Aquaria lagi menarik. Kos tiket Underwater World ni adalah Dewasa RM28, Kanak-kanak RM18 dan Warga Emas RM22. Ini harga untuk warganegara yang mempunyai MyKad sahaja, kalau tak ada MyKad tambah lagi RM10. Untuk mereka yang bekerja di sektor awam (kerja kerajaan) ada harga special iaitu dewasa RM22 dan kanak-kanak RM11 tapi jangan lupa bawak ID kad anda sebab 1 kad ID tu boleh bawak 2 dewasa dan 2 kanak-kanak untuk harga special tu. Kos aku untuk masuk Underwater World ni adalah RM245.

Penguin

Lepas keluar dari Underwater World, kami terus cari kedai makan sebab dari tengahari lagi tak makan. Kebanyakan kedai makan di area Pantai Cenang ni buka jam 5ptg ke atas sahaja, so agak sukar bagi orang yang baru first time sampai ni untuk cari kedai makan. Cari punya cari akhirnya kami singah di Restoran Hj Ramli. Dekat juga dengan chalet kami. Kami order nasi putih, Telur Bungkus 2 set, Kerabu Mangga 2 set, Tomyam Campur 2 set, Kangkung Belacan 2 set dan Air Sirap 2 jag. Total kos makan di Hj Ramli adalah RM94.00. Habis licin semuanya disebabkan kelaparan. Harganya bolehlah nak dikatakan murah kalau nak dibandingkan dengan kat Lembah Klang.

Lepas makan kami gerak balik ke chalet. Aktiviti kami petang tu adalah mandi pantai. Di Pantai Cenang ni memang banyak aktiviti tinggal lagi duit jer untuk keluar. Ada banana boat, Jet Ski, Surfing, Parachute dan banyak lagi la. Memang hapening di Pantai Cenang ni. Kos aku kat pantai cenang ni tak ada sebab aku tak main benda-benda yang ada tu just mandi sahaja.

Pantai Cenang

Malam di Pantai Cenang juga tidak membosankan sebab banyak kedai-kedai yang menjual cenderamata, baju dan kedai makan yang buka. Kami jalan-jalan jer malam tu. Ramai Pelacong asing yang ada kat sini mencuci mata melihat barang-barang yang dijual. Spa pun banyak, so kalu korang nak berspa, nak berurut-urut kaki boleh la berkunjung kat sini. Makan malam pula aku cuma berenam sahaja sebab yang lain ada aktiviti lain. Kami makan di sebelah chalet jer iaitu Restoran Hj Jelani. Kami order Kuey Teow Tomyam, Nasi Gorang Kampung 4 pinggan, Maggie Goreng, Air Laicee, Air Laicee Kang dan Air Sirap. Total kos RM33.

Hari pertama aku di Langkawi telah melabuh kan tirainya. Kita jumpa post untuk hari kedua pulak.

Total Spending: RM1290 + RM300 + RM50 + RM440 + RM245 + RM94 + RM33 = RM2452.
Kos untuk Tiket Penerbangan, Chalet dan Van telah di satle kan sebelum aku ke Langkawi lagi jadi total kos untuk hari pertama adalah RM422.